Masjid Dabong aktifkan Rumah Ngaji

KUALA KRAI - Mengejutkan apabila jelajah Program Aktifkan Rumah Ngaji Yayasan ke mukim Dabong menemui tiga tan al-Quran rosak akibat banjir dan perlu dilupuskan segera.

Bayangkan tiga bulan lalu, tangis rakyat Kelantan sehingga hari ini menjadi igauan apabila bukan sahaja rumah kediaman yang ditenggelami air, malah rumah ibadah termasuk masjid turut tenggelam.

Ia cukup menyedihkan setelah masa berlalu, menerusi jelajah pengagihan al-Quran ke masjid-masjid, masih ada al-Quran yang perlu dilupuskan.

Imam Tua Masjid Mukim Dabong, Rosdy Othman, berkata, longgokan al-Quran rosak itu bukan sahaja kepunyaan masjid, malah ia juga datang dari kediaman penduduk berdekatan.

“Al-Quran ini hanyut dan setelah ditenggelami air, ia rosak dan tidak boleh digunakan lagi, malah perlu dilupuskan.

“Pihak masjid sudah membuat aduan kepada mereka yang berkaitan dan turut mengharapkan ada badan bukan kerajaan (NGO) hadir membantu menghantarnya ke tempat pelupusan al-Quran,” katanya sambil diperhatikan mereka yang turut hadir, Badan Penggerak Individu (NGI), Dr Mazlan Abdullah dan Pengurus Sinar Harian Kelantan, Surena Md Noor.

Menjelajah tiga masjid di Dabong menjadikan Ketua Pengawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Marhaini Yusoff mengetahui secara lebih mendalam apa yang diperlukan jemaah masjid-masjid berkenaan.

Kata Marhaini, memandangkan jarak kedudukan Dabong yang terletak jauh dari Kota Bharu, usaha mengaktifkan Rumah Ngaji akan diubah sedikit dari perancangan asal melibatkan tempat yang memudahkan mereka hadir.

Berdasarkan cadangan Imam Masjid As-Salam, Dabong, Maktar Abdullah, 73, kelas mengaji al-Quran di masjid berkenaan memang sudah ada terutama kepada anak-anak yang pulang dari sekolah.

“Saya yakin ramai penduduk yang minat untuk mengaji dengan cara yang diperkenalkan, cuma mahu kursus ini diadakan berdekatan kawasan ini memandangkan kami tinggal di pedalaman.

“Rumah Ngaji ini dapat menarik minat belia untuk datang ke masjid dan kami akan mencari pendekatan terbaik bagi membantu program ini,” katanya.

Bagi Imam Masjid Mukim Jelawang, Dabong, Ahmad Awang Ngah, 74,  kehadiran WUI dirasakan seperti mimpi apabila sebelum ini dia beberapa kali melihat rancangannya di Astro Oasis.

“Ketika menonton rancangan ini, hati saya terlintas untuk sama-sama menggerakkan Rumah Ngaji di Masjid Mukim Jelawang dan saya rasa seperti mimpi apabila lintasan hati ini berada di hadapan saya.

“Ia satu anugerah kerana masjid kami ditenggelami banjir yang teruk  setelah air sedalam 2.4 meter masuk ke kawasan masjid  membuatkan saya sebelum ini menitis air mata melihatnya semasa kejadian,” katanya bergenang air mata sambil tersenyum.

Mengakui  pernah melihat Marhaini semasa slot rancangan berkenaan ditayangkan di televisyen, terpancar rasa gembiranya pada wajah Imam Ahmad Awang setelah Marhaini memperkenalkan diri di hadapannya.

“Kehadiran Rumah Ngaji ini sekurang-kurangnya mengubat rasa sedih 400 penduduk di Dun Dabong termasuk di Jelawang.

"Kami akan laksanakan program ini sebaik-baiknya, Insya-ALLAH,” katanya sambil melihat pekerja baru sahaja mengecat bangunan masjid tersebut.